Tumpuan :
Dunia

Ketua Turus Angkatan Tentera Korea selatan ditahan atas dakwaan pemberontakan

Foto fail Reuters

SEOUL: Ketua Turus Angkatan Tentera Korea Selatan Jeneral Park An-su yang mengetuai pemerintahan tentera semasa Presiden Yoon Suk Yeol melaksanakan undang-undang tentera yang hanya bertahan sementara telah ditahan pada Selasa, menurut pendakwa raya, lapor agensi berita Yonhap.

Park ditahan dengan waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah atas tuduhan memainkan peranan penting dalam pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa.

Park berkhidmat sebagai ketua pemerintah undang-undang tentera Yoon untuk tempoh hanya beberapa jam sebelum ia dibubarkan selepas ahli parlimen membatalkan dekri presiden.

Semasa tempoh singkat itu, beliau mengeluarkan arahan melarang semua aktiviti politik, termasuk persidangan parlimen.

Pada Sabtu, Yoon telah didakwa oleh Parlimen.

Dalam perkembangan berasingan, Yonhap melaporkan bahawa Presiden Yoon Suk Yeol akan menyatakan pendiriannya di mahkamah jika pendengaran awam diadakan dalam perbicaraan pendakwaannya.

Peguamnya, Seok Dong-hyeon memberitahu pemberita bahawa Yoon menafikan dakwaan pemberontakan yang dikenakan terhadapnya kerana mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember. – BERNAMA-YONHAP

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini