HAMILTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Jumaat mengecam pembunuhan tiga kakitangan Program Makanan Sedunia (WFP) di Sudan dan menyeru siasatan menyeluruh dijalankan, lapor Agensi Anadolu.
“Setiausaha Agung amat marah dengan pembunuhan tiga kakitangan Program Makanan Dunia pada 19 Disember, apabila pejabat lapangan agensi itu di Yarbus, Blue Nile State, terkena serangan udara,” kata jurucakap Stephane Dujarric dalam satu kenyataan bagi pihak Guterres.
Sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan rakan sekerja mereka di WFP, beliau juga mengutuk sekeras-kerasnya semua serangan ke atas kakitangan dan kemudahan PBB serta bantuan kemanusiaan di samping menyeru agar siasatan menyeluruh dilakukan.
Kenyataan itu turut menekankan kesan buruk yang dialami oleh konflik ganas di Sudan terhadap jutaan orang yang memerlukan bantuan serta pekerja kemanusiaan yang cuba menyampaikan bantuan penting.
Guterres juga menyeru semua pihak untuk mematuhi tanggungjawab mereka melindungi orang awam termasuk kakitangan bantuan, serta premis dan bekalan kemanusiaan.
“Selepas lebih 20 bulan konflik di Sudan, Setiausaha Agung sekali lagi menegaskan keperluan untuk gencatan senjata segera. PBB akan terus menyokong usaha pengantaraan antarabangsa dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang relevan untuk membantu menamatkan perang,” menurut kenyataan itu.
Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher turut mengecam pembunuhan kakitangan WFP di Sudan.
Takziah ikhlas saya kepada keluarga dan rakan yang sedang berkabung, kepada Ketua WFP (Cindy McCain), dan kepada semua di WFP,” katanya di platform X.
Beliau menggambarkan tahun 2024 sebagai ‘tahun terburuk’ bagi petugas kemanusiaan dengan berkata ia hanya menjadi tertambah buruk. -BERNAMA-AA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.