Tumpuan :
Dunia

Ketua Pasukan Pertahanan Radiologi Rusia terbunuh dalam letupan

FOTO: Reuters

MOSCOW: Ketua Pasukan Pertahanan Radiologi, Kimia dan Biologi Angkatan Bersenjata Rusia Leftenan Jeneral Igor Kirillov terbunuh dalam letupan di Moscow pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada hari yang sama, Jawatankuasa Penyiasatan Rusia memaklumkan bahawa kes jenayah telah dibuka berhubung insiden di Ryazanskiy Prospekt di Moscow yang mengakibatkan kematian dua lelaki.

“Menurut siasatan, pada pagi 17 Disember, bahan letupan yang diletakkan pada sebuah skuter berhampiran pintu masuk sebuah bangunan kediaman telah diletupkan di Ryazanskiy Prospekt, Moscow. Akibat insiden itu, Ketua Pasukan Pertahanan Radiologi, Kimia dan Biologi Angkatan Bersenjata Rusia, Igor Kirillov dan pembantunya terkorban,” menurut jawatankuasa itu di Telegram.

Menurut Jawatankuasa Penyiasatan Rusia, penyiasat dan pakar forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi letupan di tenggara Moscow.

Kekuatan bahan letupan yang digunakan dianggarkan kira-kira 200 gram bersamaan TNT, menurut jurucakap perkhidmatan kecemasan kepada RIA Novosti.

Gelombang letupan itu memecahkan tingkap sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian. Kawasan berkenaan telah dikawal pasukan penyiasat yang berada di lokasi pada pagi Selasa, menurut wartawan RIA Novosti.

Seorang penduduk berhampiran lokasi kejadian memberitahu RIA Novosti bahawa dia mendengar dentuman kuat pada pukul 6.12 pagi (03:12 GMT). – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini