Tumpuan :
Dunia

Keselamatan Titan dipersoal pelbagai pihak

Foto: Reuters

LONDON : Pengemudi kapal selam Titan, Stockton Rush ‘sangat’ serius mengenai keselamatan, kata bekas rakan kongsi perniagaannya semalam selepas mendapat kritikan pelbagai pihak selepas kes letupan yang meragut nyawa kesemua lima penumpang.

Pengarah filem Titanic, James Cameron, menuduh OceanGate Expeditions (OceanGate) mengabaikan amaran keselamatan, selepas Rush dan empat penumpang lain maut dalam malapetaka itu.

Artikel berkaitan: Kapal selam Titan meletup berhampiran Titanic, 5 penumpang sah terkorban

Pengerusi Jawatankuasa Kenderaan Bawah Laut, William Kohnen, berkata OceanGate ‘tidak mahu’ menjalani proses pensijilan standard untuk kapal selam Titan.

Foto: Reuters

Namun, Guillermo Soehnlein, yang memulakan OceanGate bersama Rush pada 2009 sebelum meninggalkan syarikat itu pada 2013, menafikan mendiang rakannya bersikap melulu.

“Mendiang amat peka mengenai bahaya meneroka dasar laut adan adalah antara individu yang amat mementingkan analisis risiko dalam setiap tindakannya.

“Dia sangat komited terhadap keselamatan,” kata Soehnlein kepada Radio Times Britain, sambil menegaskan beliau tidak terbabit dalam reka bentuk ujian Titan.

Artikel berkaitan: Kanada-Amerika siasat insiden kapal selam Titan

Cameron sebelum ini dilaporkan terkesan dengan berita kehilangan kapal selam Titan di Laut Atlantik.Beliau yang sudah melakukan 33 kali penyelaman ke lokasi rangka kapal Titanic yang karam sejak berdekad lamanya turut menyelar tindakan Titan meneruskan ekspedisi itu, walaupun tanpa kelulusan pihak berwajib.

Dalam pada itu, kumpulan pengendali kapal selam kecil dan pakar mengkritik keengganan Rush dan syarikatnya mendapatkan pengesahan keselamatan reka bentuk Titan daripada pihak ketiga seperti Biro Perkapalan Amerika Syarikat (ABS).

Malah, menurut pengasas bersama inisiatif penerokaan laut OceanX, Ray Dalio, tidak kurang juga yang mempersoalkan pilihan Rush menggunakan bahan karbon fiberbagi pembinaan komponen kalis tekanan kritikal pada kapal selam berkenaan.

“OceanGate mencipta kenderaan ujiannya sendiri menggunakan bahan yang dielakkan oleh pembuat kapal selam kecil lain dan memilih untuk tidak menjalani ujian pensijilan keselamatan dan tidak menghiraukan amaran ramai pakar kapal selam kecil,” katanya.

Tragedi ini adalah yang pertama berlaku dalam tempoh lebih 60 tahun sejarah penerokaan dasar laut dalam oleh sektor awam.OceanGate tidak tertakluk sebarang peraturan kerana ia beroperasi di perairan antarabangsa yang berada di luar bidang kuasa mana-mana negara dan tidak menangani isu keselamatan dan pengesahan keselamatan industri yang dibangkitkan pelbagai pihak. – AGENSI

Loading...
Terkini