Tumpuan :
Dunia

Kes tembak di sekolah tinggi Georgia: Remaja hadir di mahkamah

FOTO: Reuters

NEW YORK: Remaja berusia 14 tahun yang terlibat dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di Georgia, Amerika Syarikat (AS), hadir di mahkamah untuk sesi pendengaran ringkas pada pagi Jumaat, lapor Xinhua.

Tembakan itu yang berlaku pada Rabu di Sekolah Tinggi Apalachee di Barrow County, Georgia, menyebabkan empat orang terbunuh, termasuk dua pelajar dan dua guru. Sembilan yang lain, termasuk lapan pelajar dan seorang guru, cedera dalam kejadian berkenaan.

Colt Gray, penembak dan juga pelajar di sekolah itu, mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan atas mana-mana daripada empat pertuduhan membunuh yang difailkan terhadapnya, kata Hakim Currie Mingledorff semasa penampilannya di mahkamah.

Menurut Biro Siasatan Georgia (GBI), Gray akan dibicarakan sebagai orang dewasa.

Bapa Gray, Colin Gray yang berusia 54 tahun, telah ditangkap atas beberapa pertuduhan pada Khamis. Beliau didakwa secara sedar membenarkan anaknya, Colt, memiliki senjata, menurut GBI.

Siasatan mengenai insiden tembakan itu masih dijalankan, kata GBI.

Sekolah di Barrow County ditutup sepanjang minggu susulan kejadian tembakan itu. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini