NEW YORK : Terdapat peningkatan yang membimbangkan membabitkan kes penculikan kanak-kanak dan wanita di Haiti di tengah-tengah keganasan antara kumpulan, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Isnin.
Hampir 300 kes penculikan dalam tempoh enam bulan pertama 2023, hampir menyamai jumlah keseluruhan yang direkodkan sepanjang tahun sebelumnya, dan hampir tiga kali ganda berbanding pada 2021, Xinhua memetik kenyataan media UNICEF.
Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak dan wanita ditahan secara paksa oleh kumpulan bersenjata dan digunakan untuk keuntungan kewangan atau strategi taktikal.
“Cerita yang kami peroleh daripada rakan sekerja dan rakan kongsi UNICEF di lapangan adalah mengejutkan dan tidak boleh diterima,” kata pengarah serantau UNICEF untuk Amerika Latin dan Caribbean, Garry Conille, dalam siaran media itu.
“Wanita dan kanak-kanak bukan barangan dagangan. Mereka bukan alat tawar menawar. Dan mereka tidak boleh terdedah kepada keganasan yang tidak dapat dibayangkan. Trend penculikan semakin membimbangkan, mengancam rakyat Haiti dan mereka yang datang untuk membantu. ”
Situasi secara keseluruhannya di Haiti adalah kritikal. Pada hari ini, dianggarkan 5.2 juta orang, atau hampir separuh daripada keseluruhan penduduk, memerlukan bantuan kemanusiaan, termasuk hampir 3 juta kanak-kanak, kata UNICEF.
Selain isu kanak-kanak dan wanita, laporan menunjukkan bahawa sistem penjagaan kesihatan tempatan hampir runtuh dan sekolah-sekolah menjadi sasaran, menyebabkan penduduk awam hidup dalam ketakutan, katanya.
Peningkatan keganasan, rompakan, sekatan jalan raya, dan kehadiran kumpulan bersenjata yang berleluasa menghalang bantuan kemanusiaan, menjadikannya sukar untuk menyampaikan bantuan kepada komuniti yang terjejas, tambahnya.
UNICEF dengan segera menyeru agar mereka yang telah diculik di Haiti dibebaskan segera dan kembali dengan selamat dan mengulangi komitmennya untuk menyampaikan bantuan dan sokongan kritikal untuk kanak-kanak Haiti yang telah terjejas akibat peristiwa ini. — BERNAMA-XINHUA