Tumpuan :
Dunia

Kes Mpox di Uganda melebihi 1,000 dengan 6 kematian

KAMPALA: Jumlah kumulatif kes cacar monyet (Mpox) yang disahkan di Uganda kini melebihi angka 1,000 dengan enam kematian direkodkan sejak wabak itu diisytiharkan lima bulan lalu di negara terbabit.

Kementerian Kesihatan Uganda menyebut, sebanyak 17 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,044 kes di 57 daripada 146 daerah di Uganda sejak kes pertama dikesan pada Ogos, lapor Xinhua memetik laporan yang dikeluarkan kementerian itu.

Sekurang-kurangnya 10 kes baharu dicatatkan di Kampala, menjadikannya kawasan paling teruk terjejas.

Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa mesej kesedaran awam mengenai penyakit ini telah disiarkan di 45 stesen radio dan empat saluran TV di seluruh negara.

Dengan sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan kongsi yang lain, Uganda telah mempergiat langkah pencegahan termasuk meningkatkan pemantauan, pengurusan kes, komunikasi risiko dan penglibatan komuniti, serta kempen kesedaran awam untuk membendung penularan virus berkenaan. — BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini