VIJFHUIZEN: Kerjasama antarabangsa amat penting dalam usaha memperjuangkan keadilan untuk 298 mangsa yang terkorban dalam tragedi menyayat hati membabitkkan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 10 tahun lalu.
Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof berkata, adalah amat penting bagi negara yang terbabit untuk bersatu demi mendapatkan keadilan bagi mangsa tragedi itu.
“Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) telah digantung, namun apabila terdapat maklumat baharu, mereka boleh memulakan tugasan dengan segera. Jadi, kerjasama antarabangsa adalah amat, amat penting.
“Kepada semua mangsa dan ahli keluarga, mereka tidak harus berputus asa dan berhenti berharap, keadilan pasti ditegakkan suatu hari nanti, walaupun tiada sebarang jaminan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara memperingati mangsa nahas itu yang ke-10 di Monumen Nasional MH17 di Taman Vijfhuizen berhampiran Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, Belanda.
Schoof juga berkata, kesan tragedi nahas MH17 amat besar dan begitu dirasai di Belanda meskipun sudah sedekad berlalu.
Terdahulu, lebih 1,500 ahli keluarga dan rakan mangsa dari seluruh dunia berkumpul di monumen itu untuk memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban.
Turut hadir pada upacara itu ialah Raja Belanda Willem-Alexander.
Ahli keluarga ternyata tidak dapat menahan perasaan sedih ketika membaca nama kesemua mangsa termasuk anak kapal MH17 yang maut selepas pesawat malang itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Senarai nama kru pesawat itu dibacakan oleh Scot Choo iaitu anak lelaki juruterbang MH17 Kapten Eugene Choo yang turut terkorban dalam nahas tersebut.
Sejurus membacakan senarai nama semua anak kapal beliau dengan nada sebak mengucapkan, “Terima kasih atas khidmat anda kepada negara. Kami akan terus merindui kamu”.
Kebanyakan penumpang adalah warga Belanda selain dari 17 negara lagi termasuk Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.
Pesawat malang jenis Boeing 777 itu ditembak jatuh sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol dan mengorbankan kesemua 283 penumpang serta 15 anak kapalnya.
Pada 17 November 2022, Mahkamah Daerah The Hague menjatuhi hukuman penjara seumur hidup secara ‘absentia’ (tanpa kehadiran) ke atas dua bekas ejen perisik Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy serta pemimpin pemisah Ukraine Leonid Kharchenko.
Mereka didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan nahas MH17 dan membunuh kesemua 298 orang di dalamnya manakala seorang lagi warga Russia, Oleg Pulatov dibebaskan daripada tuduhan sama.
Sebagai memperingati mangsa, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, dalam mesej video harriannya berkata beliau yakin mangsa tragedi MH17 akan mendapat pembelaan sewajarnya.
“Tidak dinafikan bahawa proses kehakiman dan keseluruhan usaha badan keadilan antarabangsa pasti akan menentukan semua yang bertanggungjawab terhadap jenayah ini menerima hukuman yang setimpal,” katanya.
Menteri Luarnya, Dmytro Kuleba, menulis pada X bahawa Russia telah ‘dua kali membunuh mangsa’.
“Pertama dengan menggunakan peluru berpandu. Kedua, dengan pembohongan yang mencemari kenangan dan mengguris perasaan mereka yang kehilangan orang tersayang,” katanya.
Moscow menafikan sebarang tanggungjawab dalam kes MH17 dan pada 2014 ia juga menafikan kehadiran di Ukraine, namun ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, meminta Russia akhirnya menerima tanggungjawabnya.
“Bukti yang dibentangkan menjelaskan bahawa sistem peluru berpandu darat ke udara BUK yang digunakan untuk menjatuhkan Penerbangan MH17 adalah milik angkatan tentera Persekutuan Russia.
“Tiada operasi penyebaran maklumat palsu Russia boleh mengalihkan perhatian daripada fakta asas ini, yang sudah disahkan oleh mahkamah,” katanya. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa