Tumpuan :
Dunia

Kereta Kebal Israel Ceroboh Pangkalan UNIFIL di Selatan Lubnan

FOTO: Reuters

BAITULMAQDIS: Kereta kebal rejim Israel menceroboh masuk ke pangkalan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di selatan Lubnan, tuduhan terbaharu mengenai pencabulan dan serangan Israel yang dikecam oleh sekutunya sendiri.

UNIFIL dalam satu kenyataan, berkata dua kereta kebal Merkava milik Israel memusnahkan pagar utama dan menceroboh masuk ke pangkalan berkenaan di Ramyah.

“Kejadian berlaku jam 4.30 pagi Ahad. Ketika pasukan pengaman UNIFIL berada di tempat perlindungan, dua kereta kebal Merkava memusnahkan pagar utama dan memasuki posisi itu (di Ramyah).

“Mereka (tentera Israel) beberapa kali meminta supaya pangkalan (UNIFIL) untuk memadamkan lampunya.

“Selepas kereta kebal itu meninggalkan kawasan berkenaan, bom mortar meletup kira-kira 100 meter dari lokasi sehingga mengeluarkan asap yang melintasi pangkalan dan menyebabkan anggota PBB berasa tidak sihat,” katanya.

Tentera Israel ketika mengulas mengenai kejadian itu, berkata pejuang Hizbullah melepaskan peluru berpandu anti-kereta kebal ke arah rejim berkenaan sehingga menyebabkan 25 anggotanya cedera.

“Ini bukan serangan dan cubaan untuk memasuki pangkalan. Ia adalah situasi sebuah kereta kebal yang ditembak bertalu-talu sehingga menyebabkan kematian ramai anggota tentera,” kata jurucakap antarabangsa tentera, Nadav Shoshani kepada wartawan.

Menurut UNIFIL, semua anggota pengaman yang terbabit sedang menerima rawatan.

Katanya, sebelum kejadian anggota pengaman di Ramyah mengesan kehadiran tiga platun tentera Israel yang melepasi Garisan Biru.

Ramyah adalah salah satu kawasan di bawah pengawasan UNIFIL yang pada ketika ini dilaporkan kawasan tanggungjawab kontinjen Ghana.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini