SEOUL: Kerajaan Korea Selatan mengumumkan langkah untuk memperbaharui sistem 52 jam kerja seminggu dengan memberi lebih fleksibiliti dan pilihan dalam waktu bekerja.
Di bawah sistem yang diperkenalkan pada 2018, majikan mesti mengehadkan kerja lebih masa kepada 12 jam seminggu untuk memastikan jumlah jam bekerja kekal 52, lapor Agensi Berita Yonhap.
Semakan itu antara lain akan menjamin tempoh rehat berturut-turut selama 11 jam antara setiap hari bekerja dan untuk membolehkan syarikat meningkatkan jam bekerja mingguan maksimum kepada 69 sambil mengekalkan purata had kerja 52 jam.
Kerajaan juga akan menerima pakai sistem sabatikal baharu dengan pekerja boleh menjimatkan tempoh kerja lebih masa sebagai hari cuti bergaji supaya ia boleh digunakan berturut-turut dengan hari cuti bergaji tahunan.
Keputusan fleksibiliti itu hendaklah diterima pakai atas persetujuan antara buruh dan pengurusan setiap syarikat.
“(Pelan itu) akan memberi manfaat kepada pekerja dengan pelbagai sistem waktu bekerja seperti empat hari seminggu bekerja dan satu bulan sabatikal, sambil membantu syarikat dalam menguruskan tenaga kerja mereka,” kata Menteri Buruh Lee Jeong Sik pada taklimat akhbar.
Orang ramai mempunyai tempoh 40 hari untuk mengemukakan pendapat mereka mengenai semakan itu sebelum ia dibawa ke Dewan Negara untuk kelulusan pada Jun-Julai. – BERNAMA