AMSTERDAM: Kerajaan Belanda tumbang semalam selepas kegagalan mencapai persefahaman berhubung dasar mengehadkan kemasukan pendatang asing, sekali gus membuka jalan bagi pilihan raya umum (PRU) pada musim luruh.
Krisis bermula akibat desakan parti konservatif VVD pimpinan Perdana Menteri, Mark Rutte, bagi mengehadkan kemasukan pencari suaka ke Belanda, yang enggan disokong oleh dua daripada empat parti gabungan yang membentuk kerajaan.
“Bukan lagi rahsia bahawa anggota parti gabungan tidak sehaluan berhubung dasar imigresen berkaitan pendatang asing dan pencari suaka.
“Malangnya, kini sudah sampai tahap di mana jurang perbezaan pendapat terlalu lebar dan saya akan memaklumkan peletakan jawatan seluruh Kabinet kepada Raja,” katanya pada sidang media yang disiarkan melalui televisyen.
Kerajaan gabungan pimpinan Rutte akan terus berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga pentadbiran baharu dibentuk selepas PRU, yang lazimnya di Belanda akan mengambil masa berbulan lamanya
Agensi berita ANP, yang memetik suruhanjaya pilihanraya kebangsaan, berkata PRU tidak akan diadakan sebelum pertengahan November.
Ketegangan memuncak pada minggu ini apabila Rutte menuntut sokongan bagi cadangannya untuk mengawal kemasukan anak mangsa pelarian perang yang sudah berada di Belanda, membuatkan keluarga mereka menanti sekurang-kurangnya selama dua tahun sebelum kembali bersatu.
Belanda adalah antara negara di Eropah yang mengenakan dasar imigresen yang paling ketat, namun jumlah permohonan suaka di negara itu melonjak tahun lalu kepada lebih daripada 46,000 permohonan.
Kerajaan Belanda juga menjangkakan jumlah itu akan meningkat melebihi 70,000 tahun ini sekali gus melampaui rekod tertinggi yang dicatatkan pada 2015.
Perkembangan itu meningkatkan tekanan pada kemudahan asas buat mereka yang menerima perlindungan politik selama berbulan-bulan pada tahun lalu.
Terdapat ramai dalam kalangan mereka terpaksa tidur di tempat terbuka tanpa akses air minuman yang bersih serta kemudahan pembersihan diri atau rawatan kesihatan.
Tahun lalu, Rutte mengaku, beliau berasa sangat ‘malu’ dengan masalah yang tercetus berhubung kebajikan pendatang asing khususnya selepas pertubuhan kemanusiaan Medecins sans Frontieres mengirim pasukan mereka ke Belanda untuk membantu memenuhi keperluan perubatan golongan terbabit di pusat permohonan suaka di negara itu.
Susulan itu, Rutte berjanji untuk menambah baik keadaan di pusat berkenaan terutama mengurangkan kemasukan pelarian ke Belanda.
Bagaimanapun, beliau gagal memperoleh sokongan daripada gabungan kerjasamanya yang berpendapat, dasar itu keterlaluan.
Rutte, 56, adalah pemimpin paling lama memegang jawatan Perdana Menteri dalam sejarah Belanda iaitu sejak Oktober 2010.- REUTERS