comscore
Tumpuan :
Dunia

Kemuncak gelombang haba, Itali siap siaga

 

Foto: Reuters

ROM: Beberapa bandar di Itali diletakkan di bawah amaran cuaca panas tertinggi pada Jumaat, ketika gelombang haba menyebabkan suhu melampau dijangka mencapai kemuncaknya hujung minggu ini.

Amaran merah iaitu yang tertinggi dalam sistem empat peringkat negara itu berkuat kuasa tiga hari di 17 daripada 27 bandar yang termasuk dalam sistem pemantauan nasional yang dikendali Kementerian Kesihatan negara itu.

Selain itu, lima bandar lain diletakkan dalam amaran jingga iaitu tahap kedua tertinggi.

Turin, Bologna, Verona dan Trieste menjadi antara bandar yang paling teruk terjejas oleh gelombang haba di utara manakala Florence, Rom dan Perugia di tengah Itali serta Bari dan Palermo di selatan juga mengalami suhu sangat tinggi.

Di beberapa wilayah, terutama di kawasan metropolitan, suhu dijangka melebihi 40 darjah Celsius dalam tempoh 48 jam akan datang, sebelum disusuli oleh gelombang udara sejuk yang secara beransur-ansur tiba di beberapa kawasan ini pada petang Ahad, menurut ramalan cuaca oleh Tentera Udara Itali dan perkhidmatan cuaca dalam talian ilMeteo.it.

Dalam sistem Itali, amaran merah menandakan risiko kesihatan yang serius untuk semua rakyat.

Amaran Kementerian Kesihatan itu menjadi tajuk utama media Itali, memandangkan negara berkenaan memasuki musim cuti paling sibuk ketika jutaan populasi- termasuk pelancong asing dan penduduk berhasrat melakukan pelbagai aktiviti luar.

Sementara itu, dikaitkan dengan amaran jingga dan merah, peningkatan risiko kebakaran hutan juga dilapor di beberapa kawasan, termasuk ibu kota wilayah Sicily, Palermo dengan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran risiko kebakaran hutan tertinggi untuk hujung minggu ini.

Tuscany juga kekal dalam keadaan waspada selepas sekurang-kurangnya 13 kebakaran hutan dilapor seluruh wilayah itu pada Khamis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini