comscore
Tumpuan :
Dunia

Kempen vaksinasi Polio fasa kedua di Gaza, UNICEF sasar 590,000 kanak-kanak

FOTO: Reuters

HAMILTON: Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Khamis mengumumkan bahawa pusingan kedua vaksinasi polio di Semenanjung Gaza akan bermula pada 14 Okt, dengan sekitar 590,000 kanak-kanak dijangka menerima suntikan, lapor Agensi Anadolu.

“Vaksinasi pusingan kedua di Semenanjung Gaza telah disahkan. Ia akan bermula pada 14 Oktober untuk memberikan vaksin kepada sekitar 590,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell di platform X.

Beliau menekankan bahawa “jeda kemanusiaan di kawasan tertentu telah dipersetujui” dan menyeru semua pihak agar menghormati jeda ini.

“Tanpa jeda ini, mustahil untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak,” katanya.

Russell turut mengumumkan bahawa suplemen vitamin A akan diberikan kepada kanak-kanak di Gaza untuk memperkuatkan sistem imun mereka kerana keadaan kebersihan yang sangat buruk di wilayah itu akibat serangan Israel yang  berlanjutan lebih setahun.

“Dengan kelengkapan vaksin tambahan dan kotak penyejuk yang tiba semalam (Rabu), UNICEF bersedia untuk memvaksinasi kanak-kanak dan menghentikan penularan polio,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan pusingan pertama vaksinasi membuktikan bahawa apabila perjanjian dihormati, tugas dapat dilaksanakan.

Pada 16 Ogos, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan kes pertama polio di Semenanjung Gaza.

Pusingan pertama selesai pada 16 Sept dengan kadar liputan vaksinasi dilaporkan sebanyak 90 peratus.

— BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini