RAMALLAH: Kementerian Kesihatan Palestin merayu dengan segera kepada masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dan melindungi pesakit, petugas perubatan serta pusat penjagaan kesihatan di Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza, di tengah-tengah serangan ketenteraan Israel yang berterusan.
Menurut laporan Agensi Berita Palestin (WAFA), rayuan itu dibuat susulan serbuan pasukan Israel ke atas Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, utara Gaza.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, kementerian itu mengecam jenayah perang yang dilakukan secara berterusan oleh pendudukan Israel, sambil menyalahkan sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa dan negara berkuasa terhadap pembersihan etnik serta pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku.
Kenyataan itu menegaskan bahawa serangan yang sedang berlangsung di Gaza tidak mengenal belas kasihan, dengan tindakan genosid Israel turut meragut nyawa bayi yang belum lahir dan mencemarkan kubur si mati.
Kementerian Kesihatan Palestin turut menegaskan bahawa penjajah Israel dan masyarakat antarabangsa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan 350 pesakit, petugas perubatan dan pengiring di Hospital Kamal Adwan. Hubungan komunikasi dengan hospital itu telah terputus dan terdapat kebimbangan serius mengenai keselamatan mereka yang berada di dalamnya.
Pasukan Israel mengepung hospital itu awal pagi ini, mengarahkan petugas perubatan, pesakit dan pengiring mereka untuk berkumpul di halaman hospital sebagai persiapan untuk pencerobohan.
Arahan itu menyusuli serangan kejam semalam yang mengorbankan lima petugas kesihatan di fasiliti itu, termasuk pakar pediatrik Dr Ahmad Samour, pakar makmal Israa Abu Zayda, paramedik Abdul Majid Abu Al-Eish dan Maher Al-Ajrami serta juruteknik penyelenggaraan Fares Al-Houdali. – BERNAMA-WAFA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.