comscore
Tumpuan :
Dunia

Kemboja, Lawatan Rasmi Pertama PM Thailand

Foto Reuters

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin bakal memulakan lawatan rasmi pertamanya ke Kemboja pada Khamis, dengan matlamat memperdalam kerjasama dan menjalin era baharu hubungan dua hala.

Sejak memegang jawatan pada 22 Ogos, Srettha akan mengadakan pertemuan pertamanya dengan rakan sejawatannya dari Kemboja Hun Manet dalam kapasitinya sebagai perdana menteri.

Jurucakap Kerajaan Thailand Chai Wacharonke menekankan lawatan itu adalah komponen penting dalam lawatan pengenalan Srettha ke negara ASEAN.

Lawatan itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan pemimpin dengan pemimpin, menandakan pengambilalihan jawatan perdana menteri oleh kedua-dua pemimpin.

Menurut Wacharonke, mereka akan berdialog mengenai kerjasama ekonomi demi kepentingan rakyat kedua-dua negara, terutamanya peningkatan jumlah perdagangan bersama kepada US$15 bilion (RM70.58 bilion) menjelang 2025.

Kedua-dua pemimpin itu juga dijangka membincangkan penaiktarafan lokasi lintasan sempadan Thailand-Kemboja, pembangunan pengangkutan kereta api dan promosi pelancongan sempadan termasuk pengenalan pas sempadan pengangkutan darat sementara bagi memudahkan pelancong yang melakukan perjalanan tanpa pasport.

Selain itu, Srettha juga akan membincangkan pembangunan kawasan sempadan dan isu berkaitan, seperti jenayah transnasional, pembersihan periuk api dan penipuan pusat panggilan.

Dalam pada itu, Kementerian Luar menyatakan lawatan itu akan menandakan permulaan lembaran baharu dalam perkongsian kukuh antara Thailand dan Kemboja di bawah kepimpinan perdana menteri yang baru dilantik.

Sementara itu, Hun Manet mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kemboja yang baharu untuk tempoh lima tahun (2023-2028) bulan lalu selepas memenangi undi percaya di parlimen.

Hun Manet, 45 tahun, menggantikan bapanya Hun Sen 71 tahun, yang meletak jawatan selepas memegang jawatan itu selama lebih 38 tahun.

Loading...
Terkini