PHNOM PENH: Di sebalik landskap indah pergunungan yang diselubungi kabus di barat laut Kemboja, tersembunyi realiti pahit ancaman periuk api dan bahan letupan tidak meletup (UXO), yang menghalang petani daripada mengusahakan tanah mereka.
Sisa-sisa konflik ini bukan sahaja menyekat kemajuan pertanian dan sosioekonomi tetapi juga mengancam nyawa serta mata pencarian masyarakat luar bandar.
Kemboja masih bergelut dengan isu periuk api meskipun menjalankan kempen melupuskan bahan letupan itu secara agresif dengan sokongan agensi antarabangsa.
Menurut Pihak Berkuasa Tindakan dan Bantuan Mangsa Periuk Api Kemboja sebanyak 65,072 mangsa bahan letupan itu direkodkan dari Januari 1979 hingga Jun 2024.
Perdana Menteri Hun Manet pada Oktober lepas mengingatkan bahawa 1,700 kilometer tanah yang ditanam dengan periuk api dan UXO membahayakan kira-kira satu juta penduduk di kawasan berhampiran.
Pakar pelupusan bahan letupan bersetuju bahawa masih terdapat kawasan luas yang ditanam dengan bahan letupan di dalam tanah. Kekurangan dana, tenaga pakar teknikal, dan bentuk muka bumi yang sukar menjadi halangan untuk membersihkan kawasan terbabit.
Kesulitan ini berkemungkinan melengahkan rancangan Kemboja untuk menjadi negara bebas periuk api menjelang 2025.
Pengurus Program Pembangunan Produk Pengesanan Periuk Api Anti-Personel (APOPO) Kemboja Michael Raine berkata bahawa negara ini telah mencapai kemajuan ketara dalam tindakan melupuskan periuk api, namun skala pencemaran memerlukan usaha berterusan dalam aspek pelupusan, bantuan mangsa, dan pendidikan risiko.
“Kemboja adalah salah daripada negara yang paling terjejas dengan periuk api, dengan jutaan periuk api dan UXO bertaburan di kawasan luas. Membersihkan kawasan yang ditanam periuk api dalam skala besar ini memerlukan sumber yang besar dan usaha berpanjangan.
“Hutan tebal, kawasan pergunungan, dan kawasan berlumpur menyukarkan akses kepada beberapa kawasan ditanam periuk api serta proses pembersihan.
Pelupusan periuk api adalah mahal, dan sokongan kewangan daripada penderma antarabangsa semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menyebabkan kemajuan operasi menjadi perlahan,” katanya.
Kemboja akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Kajian Semula Kelima Konvensyen Larangan Penggunaan Periuk Api Anti-Personel (Konvensyen Ottawa) atau Sidang Kemuncak Siem Reap-Angkor dari 24 hingga 29 Nov 2024.
Persidangan itu akan menyoroti bahaya periuk api terhadap orang awam yang tidak bersalah dan mata pencarian mereka.
APOPO, sebuah organisasi antarabangsa yang pakar dalam pelucutan periuk api dengan melatih tikus dan anjing untuk mengesan periuk api, telah beroperasi di Kemboja sejak 2014.
“Tanah pertanian yang luas dan subur masih tidak dapat digunakan akibat risiko UXO, sekali gus mengehadkan pengeluaran makanan dan pertumbuhan ekonomi. Ini amat kritikal bagi ekonomi agraria seperti Kemboja.
“Kecederaan akibat UXO sering memaksa keluarga terjerumus ke dalam kemiskinan disebabkan kos perubatan, kehilangan kemampuan untuk mencari rezeki, dan ketidakupayaan untuk mengusahakan tanah dengan selamat,” katanya.
Sisa-sisa perang lama terus menghantui rantau Indochina, termasuk Laos, Kemboja, Vietnam, dan Myanmar, menyebabkan ramai terkorban atau cedera seumur hidup.
Parlimen Laos pada Isnin dimaklumkan bahawa 30 orang cedera dan sembilan maut akibat insiden berkaitan UXO dalam tempoh 10 bulan lepas.
Kebanyakan mangsa senjata maut yang dikebumikan lebih 40 tahun lepas sejak Perang Vietnam itu adalah kanak-kanak.
Vietnam juga menghadapi pengalaman traumatik serupa.
Pusat Tindakan Periuk Api Kebangsaan Vietnam mendedahkan hampir 40,000 rakyatnya kehilangan nyawa manakala 60,000 lagi cedera akibat insiden berkaitan UXO sejak 1975.
Negara yang pernah melalui peperangan dengan Amerika Syarikat pada 1970-an itu perlu membersihkan 5.6 juta hektar tanah yang tercemar dengan UXO.
Di Myanmar, keadaannya lebih membimbangkan, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), yang mencatatkan 1,054 korban awam akibat periuk api dan UXO pada 2023, hampir tiga kali ganda berbanding 390 kes pada 2022.
Lebih 20 peratus mangsa adalah kanak-kanak.
Presiden Dana Bantuan Periuk Api Bill Morse memberitahu Bernama bahawa Kemboja telah berjaya membersihkan lebih 3,000 kilometer tanah yang dipenuhi bahan letupan serta memusnahkan lebih empat juta periuk api dan sisa bahan letupan perang (ERW) dengan sokongan rakan antarabangsanya.
“Kemboja masih menghadapi cabaran besar, dengan kawasan periuk api baharu yang perlu dikenal pasti dan dikaji. Kemboja sedang merangka rancangan untuk menangani ERW dari 2026 hingga 2030. Walaupun sebahagian daripada negara ini adalah selamat, banyak lagi perlu dibuat.
“Dana adalah kebimbangan utama kami. Kami menjangkakan sumbangan dana akan terhenti pada 2025. Tanpa sokongan kewangan berterusan, operasi pelupusan kami mungkin terhenti, kawasan yang dirancang untuk 2025 tidak dapat dibersihkan, dan separuh kakitangan terpaksa diberhentikan. Kemboja memerlukan sokongan dan lebih banyak rakan antarabangsa untuk mencapai matlamatnya,” kata Morse. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.