comscore
Tumpuan :
Dunia

Kematian Yang Dicemburui

Ustazah Taslimah yang meninggal dunia ketika sedang memimpin program tahlil dan khatam al-Quran di Masjid As Syafiiyah, Jakarta Selatan, Khamis lalu.

KUALA LUMPUR: Kerap kali kisah kematian indah seperti menghembuskan nafas terakhir ketika sedang sujud, membaca al-Quran dan membuat kebaikan lain dikongsi terutama menerusi media sosial hingga ramai mencemburuinya.

Hakikatnya, mati dengan pengakhiran baik atau husnul khatimah adalah dambaan setiap hamba Allah SWT beriman.

Inilah yang berlaku antaranya Ustazah Taslimah yang meninggal dunia ketika sedang memimpin program tahlil dan khatam al-Quran di Masjid As Syafiiyah, Jakarta Selatan, Khamis lalu.

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Lukman Ibrahim, berkata kematian dalam keadaan yang baik mesti dicari dan diusahakan setiap manusia

“Kita semua pasti akan mati dan perlu mati dalam keadaan husnul khatimah. Maksud husnul khatimah adalah kematian baik, yang (kita atau orang lain melihatnya) dalam keadaan dia berada dalam ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

“Ia memberi tanda, walaupun bukan satu kepastian bahawa orang ini mendapat kebaikan di akhirat dan menjadi ahli syurga,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Lukman berkata, mati dalam keadaan baik ini tidak datang dengan sendiri, sebaliknya berdasarkan amalan sepanjang hayat seseorang Muslim itu.

“Ulama memberi tamsilan sekiranya dua biji lori bertembung dengan masing-masing membawa muatan ikan dan beras, maka apa yang akan keluar daripada kedua-dua kenderaan itu tentunya ikan dan beras juga.

“Begitulah ibaratnya kematian manusia, apa akan keluar dari tubuhnya adalah yang menjadi amalannya sepanjang hayat. Kalau banyak kebaikan dibuat, kebaikanlah yang akan keluar. Jika banyak kejahatan, begitulah yang akan terlihat. Jadi, husnul khatimah ini mengikut amalan kita,” katanya.

Mengulas amalan diajar Rasulullah SAW untuk meraih pengakhiran baik, Muhammad Lukman berkata, perkara terbaik untuk dilakukan adalah sentiasa memperbaiki amalan dari masa ke masa terutama dari segi ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, selain tidak berhenti daripada berdoa.

Ini termasuk menyempurnakan solat lima waktu dengan sebaiknya, menjauhi perbuatan membawa kepada dosa seperti rasuah, riba dan perkara lain bertentangan dengan ajaran-Nya.

“Ini seperti video mengenai seorang ustazah di Indonesia meninggal dunia ketika sedang membaca al-Quran, tentulah kita boleh katakan Allahyarhamah membuat amalan banyak dan beliau berdoa supaya Allah SWT matikan dalam keadaan sedemikian.

“Kematian itu sangat hebat, ayat terakhir dibacanya bermaksud: Dan Tuhan kamu adalah Yang Maha Satu dan Yang Maha Esa. Ayat ini seumpama kalimah lailahaillallah, tiada tuhan melainkan Allah SWT. Sesiapa yang ucapan terakhirnya adalah kalimah berkenaan, (dijanjikan) masuk syurga. Kita juga mendoakan mudah-mudahan ustazah berkenaan menjadi ahli syurga,” katanya – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini