LONDON: Kematian akibat konflik bersenjata di seluruh dunia meningkat 37 peratus antara 1 Julai 2023 dan 30 Jun 2024, dengan hampir 200,000 kematian, menurut laporan Xinhua.
Menurut laporan ‘Tinjauan Konflik Bersenjata 2024’ yang dikeluarkan oleh badan pemikir Britain, International Institute for Strategic Studies, pada Khamis, terdapat peningkatan mengejutkan sebanyak 315 peratus dalam angka kematian di Asia Barat dan Afrika Utara, terutamanya akibat peningkatan keganasan di Wilayah Palestin dengan melonjak daripada 321 kepada hampir 40,000.
Laporan itu turut mendedahkan peningkatan 17 peratus dalam kadar kematian bagi setiap kejadian, menunjukkan konflik semakin sengit dan meragut nyawa.
Penemuan itu “menggambarkan dunia di mana konflik antara negara kembali meningkat dengan Timur Tengah menjadi pusat ketidakstabilan global,” menurut laporan itu.
Badan pemikir itu juga menegaskan yang sokongan Barat terhadap Israel meningkatkan ketegangan serantau, sehingga mencetuskan implikasi di peringkat antarabangsa.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.