NEW YORK: “Gencatan senjata perlu dikekalkan, bukan hanya tambahan dua hari.”
Gesaan tegas itu disuarakan pemerhati tetap Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour.
Beliau juga menyifatkan perang kali ini sebagai tempoh paling dahsyat pernah dialami rakyat Palestin di Gaza.
Ujarnya, dunia telah melihat pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Gaza dan menyeru semua bersuara menentang ketidakadilan Zionis.
Menurutnya, langkah gencatan senjata yang diambil ketika ini bukanlah suatu langkah drastik dan tidak bercita-cita tinggi.
Ini kerana dalam sesi khas tergempar yang diambil sebulan lalu, dua pertiga daripada keanggotaan PBB sudahpun mengundi menyokong resolusi yang dibentangkan bagi menamatkan perang.
Namun, negara yang memveto pembatalan resolusi itu perlu bertanggungjwab atas malapetaka kemanusiaan yang dicetus Zionis.
Tambah Riyadh, sekiranya gencatan senjata dilaksanakan lebih awal, sudah tentu ribuan nyawa rakyat Palestin akan terselamat dan keluarga mereka tidak akan menanggung penderitaan sebegitu.
Baginya PBB perlu mencerminkan kemarahan global dan mengambil pendirian jelas dan tegas menyeru gencatan senjata kemanusiaan segera yang membawa kepada penamatan peperangan.