Oleh: Tuan Daniya Meringing
PATTANI: Jumlah insiden keganasan di tiga wilayah selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan empat daerah Songkhla meningkat lebih 31 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Ia dimaklumkan Pengarah Deep South Watch, Srisompob Jitpiromsri, iaitu badan bukan kerajaan yang memantau situasi di selatan negara itu sejak tahun 2004.
Beliau mengulas punca keganasan yang berlaku sejak tahun lepas hingga awal tahun 2025 yang didakwa disebabkan kerajaan Thailand tidak mempunyai komitmen dalam penyelesaian konflik yang berlaku selama 20 tahun.
“Polisi kerajaan dalam proses rundingan damai tidak jelas dan belum melantik ketua panel proses rundingan secara rasmi dan tidak menerima proses itu sebagai satu cara penyelesaian konflik.
“Oleh yang demikian mesej daripada pihak kerajaan tersebut menjadi persoalan adakah kerajaan mahu terus berunding atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di parlimen Bangkok semalam.
Tambah Srisompob mesej yang disampaikan oleh pentadbiran Paetongtarn Shinawatra sebagai mesej yang negatif terhadap proses rundingan damai.
“Daripada mesej tersebut Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) tidak puas hati dan tindak balas mereka melakukan serangan bom ke atas pasukan bersenjata.
“Ini menjadikan jumlah insiden keganasan meningkat lebih 31% dengan lebih 600 kejadian berlaku pada tahun lepas, sedangkan tahun 2023 hanya 400 insiden sahaja” katanya.
Jelas beliau lagi, jika diimbas kembali sejak tahun 2013 hingga 2023, sepanjang tempoh 10 tahun proses rundingan berjalan lancar menyaksikan jumlah insiden berkurangan.
“Meja rundingan sangat penting dalam membina kedamaian di selatan Thailand.Saya bimbang jika kerajaan sekarang tidak jelas dalam dasar berhubung proses rundingan, keganasan akan meningkat pada tahun ini” kata Srisompob.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.