Tumpuan :
Dunia

Kedutaan AS di Vanuatu ditutup selepas alami kerosakan akibat gempa kuat

Tanah runtuh di Vanuatu akibat gempa bumi. – FOTO: Reuters

MOSCOW: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Vanuatu ditutup setakat ini selepas gempa bumi berukuran 7.3 skala Richter melanda negara kepulauan di Pasifik Selatan pada Selasa, menurut Kedutaan AS di Papua New Guinea, seperti dilaporkan agensi berita Sputnik/RIA Novosti.

“Kedutaan AS di Port Vila mengalami kerosakan besar dan ditutup sehingga diberitahu kelak. Kami simpati kepada semua yang terjejas akibat gempa bumi ini,” menurut kenyataan misi itu.

Bangunan misi diplomatik New Zealand turut mengalami kerosakan teruk, menurut Menteri Luar New Zealand Winston Peters.

“New Zealand amat prihatin terhadap gempa bumi besar di Vanuatu dan kerosakan yang berlaku. Doa kami untuk semua yang terkesan oleh gempa bumi ini. Bangunan Suruhanjaya Tinggi kami, yang terletak berhampiran kedutaan Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom, mengalami kerosakan yang ketara,” menurut kenyataan pejabat Menteri Luar itu.

Menteri Luar Australia Penny Wong berkata negaranya “bersedia memberikan bantuan kepada Vanuatu apabila tahap kerosakan dinilai.”

Kajian Geologi AS (USGS) melaporkan gempa kuat itu berlaku kurang 20 batu di barat ibu kota Vanuatu, Port Vila, yang mempunyai populasi 36,000 orang. Persatuan Palang Merah Vanuatu menyatakan gegaran itu menyebabkan bangunan runtuh, mengakibatkan sekurang-kurangnya enam kematian dan banyak kecederaan. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini