comscore
Tumpuan :
Dunia

Kebuntuan siling hutang: Biden singkatkan lawatan ke Asia Pasifik

Foto: Reuters

WASHINGTON: Presiden AS Joe Biden tidak akan meneruskan lawatannya ke Papua New Guinea dan Australia lewat bulan ini seperti yang dirancang berikutan kebuntuan berterusan dalam rundingan dengan para pemimpin Kongres untuk menangani isu siling hutang negara, Xinhua memetik laporan beberapa media AS pada Selasa yang memetik sumber mengetahui perkara itu.

Biden akan menjadi presiden AS pertama melawat Papua New Guinea, yang diikuti lawatan ke Sydney untuk sidang kemuncak pemimpin Quad, melibatkan Amerika Syarikat, Jepun, India dan Australia.

Bagaimanapun, Biden akan tetap menyertai sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) selama tiga hari bermula Jumaat di Hiroshima, Jepun.

Terdahulu, John Kirby, penyelaras komunikasi strategik Majlis Keselamatan Negara memberitahu taklimat media bahawa White House sedang “menilai semula” lawatan Biden selepas Jepun.

Berita mengenai langkah presiden memendekkan lawatannya ke luar negara muncul ketika Biden bertemu dengan pemimpin kongres dari kedua-dua parti Demokrat dan Republikan di Pejabat Oval berhubung isu siling hutang.

Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen mengesahkan semula pada Isnin bahawa Amerika Syarikat mungkin ingkar dalam pembayaran hutangnya seawal 1 Jun jika isu siling hutang berlarutan tanpa penyelesaian.

Biden akan berlepas dari Washington pada Rabu dan singgah di Anchorage, Alaska, sebelum tiba di Jepun pada Khamis, menurut panduan perjalanan yang diumumkan sebelum ini oleh White House. – BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini