JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan oleh sebuah pertubuhan wartawan bahawa kebakaran yang meragut nyawa seorang wartawan serta tiga ahli keluarganya, bulan lalu, adalah akibat perbuatan khianat.
Aliansi Jurnalis Independen (AJI) Indonesia mendakwa kebakaran rumah Rico Sempurna Pasaribu, di Sumatera Utara pada 27 Jun lalu berpunca daripada perbuatan khianat, selepas mangsa membuat laporan mengenai kes perjudian haram membabitkan pegawai tempatan.
Menurut laporan Kompas, dalam kebakaran itu, mangsa bersama isteri, seorang anak dan seorang cucu terkorban.
Pegawai polis daerah, Oloan Siahaan, memberitahu Reuters bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian dan belum dapat dipastikan sama ada kebakaran itu disengajakan.
Dalam satu kenyataan, semalam, AJI mendakwa kes itu adalah ‘pelanggaran serius terhadap kebebasan media di Indonesia’.
Dalam kenyataan itu juga, Setiausaha Agung Persekutuan Wartawan Antarabangsa, Anthony Bellanger, menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera dan tegas bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk mangsa serta keluarganya.
Sementara itu, Istana Presiden Indonesia dalam satu kenyataan pula berkata, kebebasan media adalah dijamin sepenuhnya dalam Perlembagaan negara ini, dan ia menyokong polis menyiasat kes itu secara telus serta profesional. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.