Tumpuan :
Dunia

Kebakaran hutan di Greece ragut nyawa

Foto : Reuters

ATHENS: Tiga maut akibat kebakaran hutan di Greece.

Xinhua memetik laporan media tempatan melaporkan, seorang wanita ditemui meninggal dunia dalam sebuah treler berhampiran Volos, lokasi kebakaran besar berlaku, manakala suami mangsa cedera parah, lapor penyiar kebangsaan Greece ERT.

Dalam pada itu, seorang penggembala berusia 45 tahun dijumpai maut selepas mangsa bersama abangnya bertungkus lumus memindahkan haiwan ternakannya ke lokasi selamat.

Satu lagi mayat lelaki ditemui berhampiran pusat peranginan tepi laut Karystos di Pulau Evia.

Sebuah pesawat pemadam kebakaran turut dilaporkan terhempas di pulau berkenaan pada Selasa, mengakibatkan kematian juruterbang dan pembantunya.

Foto : Reuters

Sebanyak 594 kebakaran hutan berlaku di seluruh Greece dalam tempoh 10 hari lalu, termasuk 61 pada Rabu.

Menurut Menteri Krisis Iklim dan Perlindungan Awam, Vassilis Kikilias, kebakaran berhampiran Volos antara yang paling mencabar.

Penduduk dipindahkan ketika suhu melebihi 40 darjah Celsius dan angin kencang mewujudkan kawasan hadapan yang menjangkau beberapa kilometer, tambahnya.

Agensi Berita Greece, AMNA melaporkan anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran berhampiran kawasan perindustrian Volos memaksa kilang serta penempatan berhampiran kawasan arkeologi bernilai tinggi dikosongkan.

Foto : Reuters

Dalam pada itu, usaha memadam kebakaran dipergiat semula di Pulau Corfu dan Rhodes.

Darurat diisytiharkan pada Rabu di Pulau Rhodes, ketika kebakaran hutan terus marak untuk hari kesembilan berturut-turut.

Loading...
Terkini