LOS ANGELES: Kebakaran liar yang melanda Los Angeles telah mengorbankan sekurang-kurangnya dua nyawa, memusnahkan ratusan bangunan, dan memaksa lebih 70,000 penduduk meninggalkan rumah mereka.
Insiden yang dikenali sebagai kebakaran ‘eaton’ itu bermula pada Selasa dan semakin sukar dikawal akibat angin kencang dan kekurangan bekalan air.
Di kawasan Pacific Palisades, api telah merebak ke kawasan seluas 12,000 ekar, memusnahkan lebih 1,000 struktur dan menjadikannya antara kebakaran paling dahsyat dalam sejarah Los Angeles.
Menurut Ketua Jabatan Air dan Kuasa Los Angeles, Janisse Quinones, tiga tangki air utama di kawasan itu telah habis digunakan menjelang awal pagi, menyebabkan pili bomba kehabisan sumber sekali gus menyukarkan pasukan bomba memadamkan kebakaran di kawasan berbukit.
“Kami benar-benar menguji had sistem ini. Melawan kebakaran liar menggunakan sistem air bandar merupakan cabaran besar,” katanya.
Kebakaran turut merebak berhampiran Pasadena sehingga 10,000 ekar, manakala kebakaran Hurst di Sylmar meliputi lebih 500 ekar dan masih belum dapat dikawal.
Sementara itu, Gabenor California, Gavin Newsom, telah mengisytiharkan darurat pada Selasa untuk membolehkan sumber tambahan dikerahkan ke kawasan terjejas. Presiden Joe Biden juga dijangka akan melawat kawasan itu untuk mendapatkan taklimat rasmi mengenai situasi terkini.
Insiden itu turut memaksa penutupan kira-kira 100 sekolah di Los Angeles, manakala lebih 400,000 rumah dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan menyatakan kelembapan rendah dan tumbuhan kering akibat kekurangan hujan telah menyumbang kepada risiko kebakaran yang tinggi dengan angin kencang diramal berterusan, kebakaran dijangka terus merebak dalam beberapa hari akan datang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.