CONCEPCION: Ratusan hutan yang terbakar berpunca gelombang suhu panas di selatan tengah Chile meragut 23 nyawa setakat ini.
Menteri Dalam Negeri, Carolina Toha, dalam satu kenyataan, berkata sebanyak 251 lokasi membabitkan kebakaran aktif dengan 76 kebakaran tercetus dalam tempoh sehari lalu.
Tragedi itu mendorong Presiden Chile, Gabriel Boric, melanjutkan amaran bencana negara termasuk membabitkan wilayah selatan Araucania.
Wilayah Nuble dan Biobio juga diklasifikasikan sebagai kawasan bencana.
Langkah itu membolehkan Boric mengerah pasukan tentera untuk membantu memadamkan dan mengawal kebakaran.
Ketika ini, suhu panas mencecah 40 darjah Celsius menyebabakan usaha memadam api lebih sukar, bahkan ada kawasan terbakar sukar dikawal.
Susulan tragedi itu, Boric terpaksa menangguhkan percutian apabila bergegas ke bandar Concepcion sejauh 510 kilometer (km) dari selatan ibu kota Santiago.
Menerusi hantaran di Twitter, beliau berjanji akan terus berusaha menangani isu kebakaran hutan dan membantu keluarga yang terkesan.
Sementara itu, Boric memaklumkan negara lain seperti Argentina turut menghulurkan bantuan dengan menawarkan khidmat anggota bomba dan peralatan.
Selain itu, Brazil, Uruguay, Mexico dan Sepanyol juga menawarkan bantuan.
Sehingga kini, bencana berkenaan memusnahkan kira-kira 88 kediaman dan membakar seluas 47,000 hektar hutan.