Tumpuan :
Dunia

Kebakaran di Los Angeles: Operasi pemadaman hadapi cabaran angin kencang

FOTO: Reuters

LOS ANGELES: Operasi pemadaman kebakaran di Los Angeles, Amerika Syarikat, menghadapi cabaran besar dalam usaha mengawal kebakaran besar yang melanda kawasan luas di Pacific Palisades.

Kebakaran yang semakin merebak disertai dengan angin kencang terus mengancam lebih banyak kawasan dan pihak berkuasa memberi amaran bahawa ancaman kebakaran masih belum berakhir.

Ketua Jabatan Bomba Daerah Los Angeles, Anthony Marrone, mengingatkan bahawa tahap ancaman kebakaran di seluruh daerah Los Angeles kini berada pada tahap yang sangat tinggi.

“Ancaman kebakaran di semua kawasan Los Angeles sangat tinggi,” katanya dalam satu sidang media pada Ahad, 12 Januari.

Pesawat udara digunakan untuk menjatuhkan air dan bahan penahan api di kawasan bukit yang curam, bagi menghalang kebakaran daripada merebak lebih jauh ke arah timur.

Laporan dari stesen televisyen KTLA memaklumkan pasukan di darat telah berjaya menyelamatkan beberapa buah rumah, walaupun ada yang musnah dalam kebakaran tersebut.

Sejak kebakaran bermula pada Selasa lalu, enam kebakaran besar telah melanda Los Angeles, dengan mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa sehingga pagi Ahad.

Selain itu, sekurang-kurangnya 16 orang dilaporkan hilang.

Pihak berkuasa bomba juga melaporkan kebakaran itu telah merosakkan atau memusnahkan lebih daripada 12,000 struktur.

Sehingga Ahad, lebih 100,000 orang di Los Angeles telah diarahkan untuk mengosongkan kediaman mereka, sementara 87,000 lagi diberi amaran bersiap sedia untuk berpindah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini