Tumpuan :
Dunia

Keadaan cuaca memburuk, penderitaan di Gaza semakin tidak tertanggung

Rakyat Palestin berjalan melewati runtuhan sebuah rumah yang musnah akibat serangan Israel di Khan Younis, selatan Gaza. FOTO: Reuters

GENEVA: Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menuntut akses yang selamat dan tanpa halangan ke Gaza bagi untuk membawa bantuan ke wilayah Palestin.

Hujan lebat dan banjir telah merosakkan tempat perlindungan sementara di Gaza, menyebabkan ribuan orang tinggal di dalam khemah yang rosak dengan air setinggi 30 sentimeter (satu kaki).

Keadaan cuaca memburukkan lagi keadaan yang sudah tidak tertanggung di Gaza dan banyak banyak keluarga terpaksa berlindung di kem sementara tanpa keperluan asas seperti makanan dan selimut.

Setiausaha Agung IFRC, Jagan Chapagain berkata, lapan bayi baru lahir yang tinggal di khemah tersebut dilaporkan meninggal dunia akibat kesejukan melampau.

“Kematian itu menandakan betapa teruknya krisis kemanusiaan di sana. Mereka amat memerlukan bantuan bagi menyelamatkan nyawa,” kata Setiausaha Agung IFRC, Jagan Chapagain, dalam satu kenyataan.

Menurut data Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), lebih 330 pekerja kemanusiaan terbunuh di Gaza sejak Israel menyerang Gaza secara berterusan bermula Oktober 2023.

IFRC menekankan bahawa penutupan pintu sempadan utama Rafah pada Mei lalu memberikan kesan kritikal terhadap situasi kemanusiaan dengan hanya sedikit bantuan yang kini masuk ke Gaza.

Sementara itu, Badan Amal Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pula memberi amaran bahawa tiga lagi hospital besar di selatan Gaza hampir ditutup akibat kekurangan bahan api. MSF berkata mereka sedang berusaha untuk menghantar bahan api ke Hospital Nasser, namun ia hampir mustahil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini