LOS ANGELES : Filem Everything Everywhere All At Once mula menguasai pentas Anugerah Akademi (Oscar) ke-95 yang disiarkan secara langsung dari Dolby Theatre di sini, hari ini, apabila dua pelakonnya, Ke Huy Quan dan Jamie Lee Curtis, masing-masing diumum Pelakon Pembantu Terbaik pada acara anugerah berprestij itu.
Huy Quan, 51, yang berasal dari Vietnam, menambat hati juri melalui watak Waymond Wang yang dilakonkan dalam filem arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert itu.
Huy Quan yang sebelum ini memenangi kategori Pelakon Pembantu Terbaik Filem Muzikal/Komedi, Anugerah Golden Globe Ke-80, menewaskan Brendan Gleeson yang membintangi filem The Banshees of Inisherin, Brian Tyree Henry (Causeway), Judd Hirsch (The Fabelmans) dan Barry Keoghan (The Banshees of Inisherin).
Pelakon yang beraksi buat kali pertama di layar perak ketika berusia 12 tahun menerusi filem Indiana Jones and Temple of the Doom itu tidak dapat menahan sebak hingga menitiskan air mata ketika diumum sebagai pemenang.
“Saya dibesarkan untuk tidak lupa dari mana asal usul. Saya sentiasa ingat siapa yang memberi saya peluang pertama,” katanya yang mendedikasikan kejayaan itu kepada Steven Spielberg yang menjadi pengarah pertama mengambilnya berlakon.
Huy Quan turut berterima kasih kepada ibunya dan dua pengarah filem Everything Everywhere All At Once iaitu Kwan dan Scheinert.
“Ibu, saya menang Oscar! Terima kasih kepada ibu saya atas segala pengorbanan yang diberi. Impian adalah sesuatu yang anda mampu untuk mencapainya.
“Selama bertahun-tahun, saya takut tiada tawaran berlakon. Syukurlah, selepas 30 tahun, dua pengarah ini memberi saya peluang untuk mencuba lagi,” katanya.
Sementara itu, rakan gandingannya dalam filem Everything Everywhere All At Once, Curtis meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Terbukti watak Deirdre Beaubeirdre dibawa Curtis memusnahkan harapan empat pelakon lain iaitu Angela Bassett yang membintangi filem Black Panther: Wakanda Forever, Hong Chau (The Whale), Kerry Condon (The Banshees of Inisherin) dan Stephanie Hsu (Everything Everywhere All at Once).
“Saya tahu tampak seolah saya berdiri di sini sendirian, namun, hakikatnya, tidak. Saya ada beratus-ratus orang di belakang.
“Kepada semua orang yang menyokong filem genre ini, tidak kira berapa ramai sekali pun, kami baru sahaja menang Oscar bersama-sama!” katanya.