WASHINGTON : Ekonomi Amerika Syarikat (AS) menyaksikan pertumbuhan positif pada suku ketiga tahun ini, lapor Xinhua, memetik data Biro Analisis Ekonomi yang dikeluarkan pada Khamis.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga AS – semua perkhidmatan dan barangan yang dikeluarkan di negara – meningkat pada kadar tahunan 2.6 peratus, mengatasi jangkaan Dow Jones iaitu kenaikan 2.3 peratus.
Pertumbuhan KDNK meningkat kerana defisit perdagangan mengecil meskipun ahli ekonomi tidak menjangkakan ini akan berlaku dalam beberapa suku akan datang.
Keuntungan itu dicatatkan susulan pertumbuhan dalam perbelanjaan pengguna, perbelanjaan kerajaan dan pelaburan tetap bukan kediaman.
Di sebalik berita baik itu, ramai pakar menjangkakan kemelesetan ekonomi awal tahun depan.
“Secara keseluruhannya, walaupun lantunan 2.6 peratus pada suku ketiga lebih daripada membalikkan penurunan pada separuh pertama tahun ini, kami tidak menjangkakan kekuatan ini dapat dikekalkan.
“Eksport tidak lama lagi akan pudar dan permintaan dalam negeri semakin menyusut…kadar faedah yang lebih tinggi. Kami menjangkakan ekonomi akan memasuki kemelesetan sederhana pada separuh pertama tahun depan,” menurut ketua ahli ekonomi Amerika Utara, Paul Ashworth seperti dilaporkan CNBC. – BERNAMA