WASHINGTON: Empat anak kapal di atas kapsul SpaceX Crew Dragon yang mendarat di atas air di pantai Teluk Florida semalam, kembali dengan selamat dari misi sains selama lima bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Kapsul SpaceX yang digelar Endurance, dilihat mendarat menggunakan payung terjun ke perairan di luar pantai Tampa, selepas jam 9 malam (waktu tempatan) yang membawa dua angkasawan Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), seorang angkasawan Jepun dan seorang angkasawan Rusia.
Penerbangan itu mengambil masa kira-kira sembilan jam dari makmal penyelidikan orbit.
Pasukan Crew-Five dilancarkan dari Florida pada 6 Oktober 2022 untuk menjalankan rutin penyelidikan sains di stesen itu.
Anak kapal itu termasuk angkasawan Anna Kikina, 38 yang menjadi warga Rusia pertama terbang dengan kapal angkasa Amerika Syarikat dalam tempoh 20 tahun;
dan komander penerbangan NASA, Nicole Aunapu Mann, 45, wanita Amerika pertama dihantar ke orbit.
Juruterbang NASA, Josh Cassada, 49 dan angkasawan Jepun, Koichi Wakata, 59 iaitu seorang veteran empat penerbangan angkasa lepas turut berada di atas kapal itu.
Kapal angkasa Crew Dragon, sebuah pod berbentuk gumdrop yang direka untuk dilancarkan di atas roket Falcon Nine SpaceX, dibuka dari stesen angkasa pada awal pagi semalam dan memasuki semula atmosfera bumi sekitar jam 8.11 malam (waktu tempatan), menahan haba geseran yang mengakibatkan suhu di luar kapsul meningkat hingga 1,930 darjah celsius.
Misi ini adalah penerbangan anak kapal keenam SpaceX untuk NASA sejak kapal angkasa Crew Dragonnya pertama kali menerbangkan manusia pada Mei 2020.