Tumpuan :
Dunia

Kapal persiaran permata baharu dalam peta pelancongan Kemboja

FOTO: Reuters

PHNOM PENH: Bekas perkampungan nelayan yang sederhana, dengan jaringan lalauan airnya, kini telah berubah menjadi Pelabuhan Autonomi Sihanoukville yang berwarna-warni, menarik kapal persiaran antarabangsa dan berpotensi merubah industri pelancongan Kemboja.

Pelabuhan laut dalam utama Kemboja yang terletak di Wilayah Sihanoukville di bahagian selatan negara menjangkakan menerima 20 kapal persiaran tahun ini, meningkat daripada 14 kapal tahun lepas.

Lebih 11,000 pelancong kapal persiaran tiba di pelabuhan itu dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Naib Gabenor Wilayah Sihanoukville Long Dimanche berkata kepada Bernama bahawa trend positif itu terhasil daripada keamanan dan kestabilan negara yang memacu ekonomi dan sektor pelancongan.

“Infrastruktur yang maju dan mencukupi di wilayah ini, termasuk pelabuhan laut dalam, adalah elemen penting yang membolehkan kapal besar dan kecil berlabuh, membawa ribuan pelancong kapal persiaran dari pelbagai negara.

Wilayah ini juga memperhebat usaha mempromosikan laluan maritim antara pulau-pulau di Wilayah Sihanoukville dan pulau-pulau berdekatan di Thailand dan Vietnam menerusi Koridor Ekonomi Kemboja-Vietnam-Thailand yang akan datang,” katanya.

Walaupun jumlah ketibaan masih kecil berbanding negara jiran ASEAN seperti Pulau Pinang di Malaysia, yang menjangkakan 65 kapal persiaran tahun ini atau Phuket di Thailand yang menerima hampir 200 kapal setiap tahun, pertumbuhan ini memberi harapan, menurut pakar industri.

Naib Presiden Jualan Antarabangsa Oceania Cruises Jason Worth berkata Kemboja dan rantau Asia Tenggara mempunyai potensi besar dalam pelancongan kapal persiaran

“Kami melihat peningkatan permintaan daripada pelancong Asia yang ingin menempah percutian kapal persiaran ultra-premium dengan Oceania Cruises. Sihanoukville menjadi satu daripada destinasi dalam jadual perjalanan kami di Asia Tenggara. Pelabuhan ini adalah perhentian yang sempurna untuk menikmati keindahan semula jadi pantai Kemboja dan budaya yang pelbagai.

Kelebihan pelabuhan ini ialah tetamu dapat menikmati pantai yang menakjubkan serta peluang menyelam skuba, kerana Sihanoukville terletak di Teluk Thailand yang dihiasi pulau-pulau indah. Terdapat juga banyak wat atau kuil Buddha, seperti Wat Otres di belakang Pantai Otres,” katanya dalam temu bual melalui e-mel.

Kemboja kini menyaksikan lonjakan ketibaan pelancong selepas COVID-19 yang menjejaskan pertumbuhan sektor itu dan pendapatan pelancongan, sumber utama ekonomi negara.

Menurut Kementerian Pelancongan Kemboja, hampir 4.3 juta pelancong tiba di negara ini dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Tahun lepas, kira-kira 5.5 juta pelancong asing melawat negara ini, menjana pendapatan hampir RM13.3 bilion (US$3 bilion).

Secara global, industri kapal persiaran muncul sebagai penyumbang utama kepada ekonomi dan penjanaan pekerjaan.

Laporan “2024 State of the Cruise Industry” menonjolkan sumbangan ekonomi sektor itu, walaupun hanya mewakili dua peratus perjalanan antarabangsa. Pada 2022, industri ini menjana RM610 bilion (US$138 bilion) dan menyokong 1.2 juta pekerjaan di seluruh dunia.

“Kami optimis terhadap pertumbuhan pelancongan kapal pelancongan di wilayah ini. Kami mengalu-alukan lebih banyak kapal persiaran pada masa hadapan.

Bagi melengkapkan aspirasinya untuk menjadi Model Zon Ekonomi Khas Pelbagai Guna Kemboja, Wilayah Sihanoukville berhasrat membangunkan pelabuhannya menjadi hab serba lengkap untuk menerima kapal persiaran standard, sekali gus meletakkan negara ini sebagai destinasi pelancongan kapal persiaran utama, bukan sekadar persinggahan sekunder,” kata Dimanche.

Naib Presiden Jualan dan Pengurus Besar Asia Pasifik Regent Seven Seas Cruises Lisa Pile berkata Kemboja adalah destinasi pelancongan kapal persiaran yang menarik dengan bandar peranginan yang dikelilingi gugusan pulau yang indah terletak di Teluk Thailand.

“Pantai Serendipity adalah hamparan pasir putih sepanjang 1.6 kilometer yang paling cantik di kawasan itu.

Para tetamu Regent Seven Seas Cruises adalah pelancong yang mahukan pengalaman mendalam di destinasi dan pelabuhan yang mereka lawati di seluruh dunia. Sihanoukville menawarkan banyak tarikan.

Lawati Wat Lu Pagoda untuk melihat patung batu gajah berkepala tiga dengan patung Buddha di atas setiap kepala. Terdapat juga dua wat (biara) di Taman Negara Ream, syurga bagi peminat pemerhati burung.

Naik tuk-tuk mengelilingi ibu kota wilayah ini, melalui Monumen Singa Emas menuju ke Phsar Leu (pasar Sihanoukville) di tengah-tengah bandar,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini