Tumpuan :
Dunia

Kapal karam, kanak-kanak 11 tahun diselamatkan di Itali

Foto fail Reuters

ROM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dipercayai satu-satunya mangsa terselamat selepas kapal yang membawa 45 pendatang dari Sfax, Tunisia karam sejak tiga hari lalu, lapor Xinhua.

Kanak-kanak itu diselamatkan di Laut Mediterranean oleh sebuah kapal yang dikendalikan oleh kumpulan amal Compass Collective dan dibawa ke pulau Lampedusa di selatan Itali pada Rabu, lapor media tempatan.

Beribu-ribu pendatang maut setiap tahun semasa cuba menyeberangi Mediterranean untuk sampai ke selatan Eropah, dengan Itali, Sepanyol dan Greece menjadi destinasi utama.

Setakat tahun ini, 64,021 pendatang dan pencari suaka tiba di Itali melalui laluan tengah Mediterranean, berbanding 153,126 dalam tempoh yang sama pada 2023, menurut kementerian dalam negeri Itali.

Secara keseluruhan, seramai 185,623 pendatang sampai ke selatan Eropah pada 2024, dengan lebih 175,000 menyeberangi Mediterranean, menurut Agensi Pelarian PBB (UNHCR).

Kira-kira 2,250 orang diisytiharkan hilang atau mati setakat ini, lapor UNHCR. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini