Tumpuan :
Dunia

Kapal karam berusia 1,500 tahun dijumpai di Pantai Barat Turkiye

Foto hiasan.

IZMIR: Bangkai kapal perdagangan berusia 1,500 tahun ditemukan di perairan pantai Ayvalik, wilayah Balikesir, Turkiye menjadi sebahagian daripada projek “Inventori Kapal Karam Turkiye: Warisan Biru,” lapor Agensi Anadolu.

Penyelidik menggunakan kenderaan robotik bawah air yang direka dan dihasilkan secara domestik untuk mengenal pasti bangkai kapal yang terletak kira-kira 2.5 batu dari pantai.

Bertarikh akhir abad kelima, bangkai kapal itu mengandungi kira-kira 10,000 piring seramik dan digambarkan sebagai “kapal piring” terbesar yang pernah dijumpai di Laut Aegean dan Mediterranean.

Menurut pihak berkuasa, lokasi kapal karam di kawasan laut terbuka menyumbang kepada keadaannya yang kekal terpelihara.

Harun Ozdas, pengarah Pusat Warisan Budaya Dasar Laut dan Sejarah Maritim (SUDEMER) Universiti Dokuz Eylul berkata kapal itu mungkin belayar dari Afrika Utara atau Cyprus menuju Istanbul tetapi karam akibat ribut berhampiran Ayvalik.

“Kapal itu berukuran kira-kira 15 meter panjang dan sembilan meter lebar,” kata Ozdas.

Beliau menambah bahawa selain piring, sejumlah kecil amphorae —sejenis bekas dengan bahagian bawah yang runcing dan bentuk serta saiz tertentu—juga ditemui dalam bangkai kapal.

Menurut Ozdas, sebelum ini diketahui bahawa seramik yang dihasilkan di Afrika Utara, Mesir, dan Syria dibawa ke Anatolia, Greece, atau Itali, tetapi tiada penemuan jelas di dasar laut yang menunjukkan perdagangan itu.

Bangkai kapal yang tidak disentuh ini dianggap penting kerana menawarkan koleksi “yang kaya dan pelbagai,” kata Ozdas. – BERNAMA-AA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini