Tumpuan :
Dunia

Kandang pembiakan buaya bolos, dikhuatiri terlepas ke perairan Batam

Polis dan petugas melakukan pencarian buaya di kawasan muara sungai Pulau Bulan. – FOTO: KOMPAS.COM/POLSEK BULANG

BATAM: Sebuah kandang pembiakan buaya di Pulau Bulan, Batam, Kepulauan Riau, Indonesia, dilaporkan bolos semalam, mengakibatkan sejumlah reptilia itu terlepas ke perairan berhampiran, sekali gus mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat.

Menurut laporan Kompas, kejadian itu berlaku susulan hujan lebat dan kenaikan paras air dalam beberapa hari kebelakangan ini. Ketua Polis Sektor Bulang, Adyanto Syofyan, mengesahkan sekurang-kurangnya lima ekor buaya dewasa terlepas, walaupun portal Batam News menyatakan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

Adyanto memaklumkan bahawa insiden tersebut dipercayai berlaku pada Ahad, 12 Januari.

“Beberapa buaya berukuran sehingga 3 meter panjang. Pihak polis bersama Tentera Indonesia sedang mencari reptilia itu di sekitar perairan Pulau Bulan,” katanya.

Masyarakat setempat, khususnya nelayan, diminta berwaspada terhadap ancaman tersebut dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terlihat reptilia berkenaan.

Pusat pembiakan buaya itu dikendalikan syarikat Perkasa Jagat Kurnia, milik pengusaha Singapura, Lim Sie Liong, yang juga pemilik Salim Group. Fasiliti tersebut digunakan untuk pembiakan buaya bagi tujuan eksport.

Jarak antara Pulau Bulan dan Tanjung Pelepas, Johor, adalah kira-kira 80 kilometer. Kejadian ini menimbulkan kebimbangan lebih meluas, khususnya risiko buaya-buaya tersebut memasuki perairan antarabangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini