JAKARTA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Kalimantan Timur didapati positif dadah setelah minum air mineral yang diberikan jirannya.
Pesuruhjaya Polis Samarinda Ary Fadli dalam satu kenyataan menyatakan ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati mangsa positif dadah jenis syabu.
Ketika kejadian pada 6 Jun, mangsa yang dibawa ibunya berkunjung ke rumah jiran dan telah diberikan air mineral separuh botol kerana haus.
Setelah pulang ke rumah kanak-kanak itu menjadi sangat aktif sehingga tidak makan dan tidur pada waktu malam selama beberapa hari.
Ibu mangsa yang khuatir dengan keadaan anaknya sempat bertanya mengenai air mineral yang diberikan lalu jirannya menyatakan ia dibawa dari kantin tempat kerjanya.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Atma Husada Mahakam untuk pemeriksaan.
Menurut Ary, jiran berkenaan pada awalnya menyatakan tidak mengetahui kandungan air mineral, bagaimanapun siasatan mendapati botol air mineral itu telah digunakan untuk menghisap syabu.
Jiran wanita berusia 51 tahun ditahan pada 11 Jun kerana kesalahan penyalahgunaan dadah serta melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak dan berdepan hukuman penjara 10 tahun.
Keadaan mangsa kini beransur pulih selepas dirawat di hospital dan masih dipantau pusat pemulihan Badan Narkotik Nasional. — BERNAMA