![](https://media.buletintv3.my/2023/06/mekah.jpg)
RIYADH: Kerajaan Arab Saudi mengumumkan peraturan baharu bagi musim haji 2025 dengan kanak-kanak tidak dibenarkan untuk menyertai jemaah haji ke Tanah Suci, lapor Azernews.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menyatakan bahawa langkah itu bertujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada risiko berbahaya akibat kesesakan yang luar biasa setiap tahun semasa musim haji.
“Kami mengambil langkah ini untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta mengurangkan sebarang bahaya yang mungkin berlaku semasa perjalanan haji,” menurut kementerian itu dalam kenyataannya baru-baru ini.
Sebagai tambahan kepada langkah itu, kementerian itu juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan jemaah haji.
Ini termasuk kempen kesedaran mengenai keselamatan mandiri, pengenalan sistem bijak yang direka untuk membimbing dan mengawal pergerakan jemaah haji ke kawasan ibadah dan pemodenan khemah serta laluan untuk meningkatkan keselesaan bagi memudahkan pelaksanaan ibadah haji, menurut Azernews.
Selain itu, kementerian terbabit turut mengumumkan bahawa keutamaan akan diberikan kepada jemaah yang menunaikan ibadah haji buat kali pertama pada tahun 2025 ini.
Sebelum ini, Arab Saudi juga telah mengumumkan perubahan penting kepada dasar visa haji.
Bermula 1 Februari, jemaah dari 14 negara hanya akan layak untuk mendapatkan visa masuk tunggal.
Perubahan itu bertujuan untuk mengurangkan amalan menunaikan haji tanpa kebenaran yang sah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.