Tumpuan :
Dunia

Kanada usir 6 diplomat India termasuk Pesuruhjaya Tinggi

Foto: Reuters

OTTAWA: Kanada mengusir enam diplomat India termasuk Pesuruhjaya Tingginya pada Isnin, dan mendakwa mereka terlibat dengan pembunuhan seorang pemimpin pemisah Sikh serta menuduh adanya usaha yang lebih besar untuk menyasarkan penentang India di Kanada.

Pada hari yang sama, India bertindak balas dengan mengarahkan pengusiran enam diplomat kanan Kanada termasuk pemangku Pesuruhjaya Tinggi dan mengumumkan bahawa ia telah menarik balik duta besarnya dari Kanada.

Menurut Reuters, pertikaian diplomatik itu mencerminkan kemerosotan ketara dalam hubungan antara dua negara Komanwel tersebut.

Hubungan kedua-duanya mulai tegang sejak Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, menyatakan tahun lalu bahawa beliau mempunyai bukti yang mengaitkan agen India dengan pembunuhan pemimpin Sikh, Hardeep Singh Nijjar, di wilayah Kanada.

Menurut Trudeau, aktiviti itu melibatkan teknik pengumpulan maklumat secara rahsia, tingkah laku paksaan, menyasarkan warga Kanada berketurunan Asia Selatan dan terlibat dalam tindakan ancaman dan keganasan, termasuk pembunuhan.

Bagaimanapun, India menafikan tuduhan Trudeau. Pada Isnin, negara itu menolak langkah siasatan oleh Kanada dan menuduh Trudeau mempunyai agenda politik.

Dalam satu sidang media awal, Polis Diraja Kanada (RCMP) menyatakan bahawa kerajaan India telah menjalankan kempen meluas terhadap penentang India, termasuk pembunuhan dan pemerasan.

India juga didakwa menggunakan jenayah terancang untuk menyasarkan komuniti Asia Selatan di Kanada dan campur tangan dalam proses demokratik negara tersebut, kata pihak polis.

Sementara itu, India memaklumkan bahawa pengusiran diplomat tersebut dibuat kerana mereka tidak yakin dengan jaminan keselamatan bagi diplomat-diplomat berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini