Tumpuan :
Dunia

Jutaan rakyat Australia diingatkan bersedia hadapi panas melampau, risiko kebakaran

FOTO: Reuters

SYDNEY: Jutaan penduduk di tenggara Australia telah diingatkan untuk bersiap sedia menghadapi cuaca panas melampau dan risiko kebakaran, lapor Xinhua.

Suhu di seluruh negeri Victoria, negeri kedua paling padat penduduk di Australia, serta di beberapa kawasan di Australia Selatan, dijangka melebihi 40 darjah Celsius pada Isnin, sehingga mencetuskan amaran kecemasan meluas.

Di Melbourne, ibu negeri Victoria, suhu diramalkan mencecah 41 darjah Celsius, menjadikannya hari Disember paling panas di bandar itu sejak 2019.

Larangan kebakaran menyeluruh telah diisytiharkan di kebanyakan kawasan di Victoria dan pihak berkuasa pemadam kebakaran di seluruh negeri berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Ahli meteorologi memberi amaran bahawa ribut kilat kering boleh meningkatkan risiko kebakaran.

Jason Heffernan, Ketua Pegawai Eksekutif Country Fire Authority berkata dalam sidang media pada Ahad malam bahawa gabungan cuaca panas dan angin kering akan mencipta keadaan kebakaran yang dahsyat di kawasan barat Victoria.

“Jika kebakaran berlaku di kawasan landskap, ia akan sukar dikawal dan merebak dengan cepat,” katanya.

Sebuah pesawat Boeing 737 Fireliner, yang mampu membawa dan menjatuhkan 15,000 liter air atau bahan kalis api, telah dikerahkan ke negeri itu.

Chris Hardman, ketua pegawai bomba dari Pengurusan Kebakaran Hutan Victoria, berkata bahawa 54 pesawat pemadam kebakaran telah dipindahkan ke seluruh negeri untuk memastikan ia berada dekat dengan kawasan berisiko tinggi.

Kerajaan negeri mengeluarkan amaran kesihatan berhubung cuaca panas, menasihati orang ramai supaya kekal di dalam rumah dan menggesa mereka memeriksa keadaan golongan yang paling berisiko, termasuk warga emas. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini