comscore
Tumpuan :
Dunia

Jumlah korban gempa Jepun meningkat kepada 55 orang

Imej satelit edaran Maxar Technologiesmenunjukkan pencairan tanah yang disebabkan oleh gempa bumi, di Wajima, Jepun, semalam. – FOTO: Reuters

WAJIMA, JEPUN: Pasukan penyelamat Jepun hari ini masih bertungkus-lumus mencari mangsa terselamat ketika pihak berkuasa memberi amaran mengenai tanah runtuh dan hujan lebat susulan gempa bumi kuat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 55 orang.

Gempa bumi berukuran 7.5 magnitud yang berlaku kelmarin menggegarkan wilayah Ishikawa di pulau utama Honshu, mencetuskan gelombang tsunami setinggi lebih satu meter, selain insiden kebakaran besar dan kerosakan jalan raya.

Semenanjung Noto, adalah wilayah paling terjejas, dengan banyak bangunan musnah akibat kebakaran dan runtuhan.

Pihak berkuasa wilayah itu malam tadi mengumumkan 55 mangsa disahkan maut dan 22 cedera parah.

Bagaimanapun angka korban dijangka meningkat ketika pasukan penyelamat terus berdepan kesukaran untuk mengalihkan runtuhan disebabkan gegaran susulan dan cuaca buruk.

Lebih 31,800 mangsa turut berada di tempat perlindungan.

Pentadbiran Perdana Menteri, Fumio Kishida akan mengadakan mesyuarat pasukan petugas kecemasan pagi ini untuk membincangkan tindak balas susulan.

Kishida malam tadi menyatakan anggota menyelamat kesuntukan masa, berikutan ramai mangsa mungkin masih terperangkap dalam bangunan yang runtuh, menurut penyiar awam NHK.

Operasi menyelamat itu dilakukan segera ekoran Agensi Meteorologi Jepun (JMA) sudah mengeluarkan amaran hujan lebat di Noto.

“Berhati-hati dengan tanah runtuh sehingga petang Rabu,” menurut agensi itu.

Di bandar pantai Suzu, Datuk Bandarnya, Masuhiro Izumiya menyatakan hampir tiada kediaman yang selamat.

“Kira-kira 90 peratus kediaman (di pekan) musnah sepenuhnya atau sebahagian besarnya… situasinya benar-benar seperti malapetaka,” katanya menurut penyiar TBS.

Syarikat utiliti tempatan pula memaklumkan, hampir 34,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik di wilayah Ishikawa. Banyak bandar juga terputus bekalan air.

Kereta api laju dan landasan Shinkansen sudah kembali beroperasi selepas beberapa ribu penumpangnya terkandas.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) pula berkata, gempa itu berkekuatan magnitud 7.5, sementara JMA mengukurnya pada magnitud 7.6, sekali gus mencetuskan amaran tsunami besar.

JMA menyatakan gempa kuat itu adalah antara lebih 210 gegaran yang berlaku di wilayah itu hingga petang Selasa.

Jepun menarik balik semua amaran tsunami selepas ombak sekurang-kurangnya 1.2 meter (empat kaki) melanda bandar Wajima dan beberapa siri tsunami yang lebih kecil turut dilaporkan di tempat lain. -AGENSI

Loading...
Terkini