GAZA: Jumlah kematian akibat serangan berterusan Israel di Gaza meningkat kepada 45,658 orang, manakala 108,583 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam tempoh 24 jam terakhir, sekurang-kurangnya 77 orang terbunuh dan 145 lagi cedera, dengan beberapa mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Serangan udara Israel pada Jumaat turut mensasarkan Gaza City di utara Gaza, mengorbankan tujuh orang termasuk empat kanak-kanak.
Sementara itu, tentera Israel mengancam kakitangan perubatan, pesakit, dan pekerja di Hospital Al-Awda di utara Gaza, memberi amaran bahawa fasiliti tersebut akan dibom sekiranya tidak dikosongkan segera.
Pejabat media Hamas melaporkan bahawa tentera Israel terus memusnahkan hospital di utara Gaza, menyebabkan kira-kira 40,000 penduduk Palestin terputus akses kepada perkhidmatan perubatan.
Pada masa sama, Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), Amy Pope, menyatakan krisis kemanusiaan di Gaza bertambah buruk akibat suhu musim sejuk yang beku dan hujan baru-baru ini. Bantuan kemanusiaan yang masuk ke Gaza juga amat terhad, meninggalkan penduduk dalam keadaan terdesak memerlukan tempat perlindungan dan keperluan asas.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada pertengahan Disember tahun lalu, sekurang-kurangnya 945,000 penduduk Gaza memerlukan barangan musim sejuk seperti pakaian hangat, selimut, dan terpal.
IOM mengulangi gesaannya agar semua pihak yang terlibat dalam konflik segera menghentikan tembakan, membebaskan tahanan, melindungi orang awam di Gaza, dan memastikan aliran bantuan kemanusiaan tidak terganggu.
Dalam perkembangan lain, Hamas mengesahkan bahawa rundingan tidak langsung dengan Israel telah disambung semula di Doha, Qatar, bagi mencapai gencatan senjata penuh di Gaza.
Menurut kenyataan Hamas, rundingan terbaru itu memberi tumpuan kepada mencapai gencatan senjata menyeluruh, memastikan pengunduran tentera Israel dari Gaza, dan memudahkan kepulangan pelarian Palestin ke rumah mereka dengan selamat dan segera.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.