BEIRUT: Parlimen Lubnan melantik Ketua Tentera, Joseph Aoun, sebagai Presiden baharu pada Khamis, mengakhiri kekosongan lebih dua tahun bagi jawatan tersebut.
Menurut Reuters, pelantikan itu menampilkan seorang jeneral yang mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS).
Dalam undian pusingan pertama, Aoun gagal memperoleh 86 undi yang diperlukan. Namun, beliau berjaya melangkaui jumlah itu dalam pusingan kedua dengan 99 undi, menurut Speaker Parlimen, Nabih Berri.
Keputusan ini mencerminkan perubahan dinamik kuasa di Lubnan dan rantau Asia Barat. Selain itu, ia juga menunjukkan kebangkitan semula pengaruh Arab Saudi di negara tersebut, yang sebelum ini tenggelam di bawah dominasi Iran dan Hezbollah.
Jawatan presiden Lubnan, yang dikhaskan untuk penganut Kristian Maronit mengikut sistem perkongsian kuasa sektarian negara itu, telah kosong sejak tamatnya penggal Michel Aoun pada Oktober 2022. Kekosongan itu berpunca daripada perselisihan antara puak politik yang gagal mencapai persetujuan mengenai calon.
Aoun, seorang tentera berusia 60 tahun, menjadi Panglima Tentera Lubnan kelima yang dilantik sebagai presiden dalam sejarah negara itu. Pelantikannya dilihat sebagai langkah penting ke arah kestabilan politik Lubnan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.