AMMAN: Aqaba Development Corporation, milik kerajaan Jordan menandatangani perjanjian pelaburan bernilai AS$242 juta dengan sebuah pengendali pelabuhan global, APM Terminals bagi membangunkan dan mengurus Terminal Kontena Aqaba, lapor Xinhua memetik agensi berita Petra.
Perjanjian ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan operasi terminal, sekaligus menjadikan Aqaba sebagai hab logistik utama di rantau ini.
Dengan pelaburan sebanyak AS$242 juta menjelang 2030, perjanjian ini dijangka memperkukuhkan daya saing Pelabuhan Aqaba, meningkatkan keupayaannya untuk menarik pelaburan asing dan mengukuhkan posisinya sebagai hab penting dalam rantaian perdagangan dan bekalan.
Perjanjian ini akan membantu meningkatkan kapasiti terminal kepada lebih 1.7 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) dan pembangunan pelabuhan dan terminal terbabit akan memberi sumbangan kepada eksport Jordan ke pasaran global serta ekonomi negara secara keseluruhan.
Perjanjian itu turut merangkumi projek untuk membangunkan pelabuhan itu sebagai pelabuhan hijau, selaras dengan matlamat untuk mencapai pelepasan bersih sifar dan strategi pertumbuhan hijau. – BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.