comscore
Tumpuan :
Dunia

Jordan sambut baik Britain gantung eksport senjata ke Israel

Foto: Reuters

AMMAN: Kementerian Luar Jordan menyambut baik langkah kerajaan Britain menggantung lesen eksport senjata tertentu ke Israel.

Jordan menyifatkan tindakan itu amat penting sebagai usaha melindungi nyawa orang awam.

Jurucakap Kementerian Luarnya, Sufian Qudah dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan Britain itu selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB, Perhimpunan Agung PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan badan lain yang menggesa gencatan senjata di Gaza.

Ia juga secara tidak langsung menangani krisis kemanusiaan yang teruk akibat konflik di Gaza.

Qudah turut menekankan kepentingan penghantaran bantuan berterusan dan mencukupi ke semua kawasan di Gaza, selain perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam, serta memastikan kemudahan PBB dan pekerja bantuan dilindungi.

Pada Isnin, Britain mengumumkan akan menggantung 30 daripada 350 lesen eksport senjatanya ke Israel, dengan alasan terdapat risiko peralatan itu boleh digunakan untuk melakukan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Keputusan Britain itu juga menyokong usaha Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir untuk mencapai perjanjian yang memastikan gencatan senjata kekal dan penghantaran bantuan kemanusiaan berterusan ke Gaza.

Qudah juga mengalu-alukan Britain untuk mengenakan larangan sepenuhnya terhadap eksport senjata ke Israel, bagi mengekang rejim itu meneruskan tindakannya di Gaza dan Tebing Barat yang melanggar undang-undang antarabangsa dan mengancam keselamatan serantau.

Qudah mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi Jordan kepada rakyat Palestin dan hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat mengikut sempadan 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini