JAKARTA: Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) secara rasmi memecat bekas presiden Joko Widodo (Jokowi) selepas beliau menolak calon parti itu sendiri dalam pemilihan Februari dan menyokong kempen Prabowo Subianto, lapor media tempatan.
Pengerusinya, Megawati Soekarnoputri, yang membuat keputusan itu turut memecat keahlian anak sulung Jokowi dan menantunya, menurut pegawai kanan parti, Komarudin Watubun.
Difahamkan, lebih 20 ahli parti itu turut dipecat.
“Saya menerima arahan langsung daripada pengerusi untuk mengumumkan pemecatan secara rasmi,” kata Watabun dalam video yang diterima oleh Bloomberg News.
Walaupun pertelingkahan Jokowo dengan parti lamanya berlaku di khalayak ramai, pengusiran itu akan mencetuskan spekulasi mengenai rancangannya ketika beliau ingin mengekalkan legasinya selepas sedekad berkuasa.
Penganalisis berkata, ahli politik yang masih popular itu mungkin menubuhkan partinya sendiri atau menyertai kumpulan (politik) lain untuk membina pangkalan sokongan keluarganya.
Selepas dua kali menewaskan Prabowo dalam pemilihan presiden, Jokowi menyokong pesaingnya itu, pada pilihan raya tahun ini, dengan anak sulungnya berjaya bertanding untuk menjadi naib presiden kepada Prabowo.
Beliau juga memberi pengaruh melalui pemilihan menantunya sebagai gabenor Sumatera Utara, manakala beberapa bekas menteri utamanya kini berada dalam Kabinet Prabowo.
PDI-P, yang menyokong Jokowi dalam dua kempen presiden, mendakwa bekas pemimpin itu campur tangan dalam keputusan Mahkamah Perlembagaan yang kontroversi, sehingga membuka jalan kepada anak sulungnya bertanding jawatan naib presiden.
Bagaimanapun, Jokowi sudah lama menafikan dakwaan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.