BERLIN: Jerman memperketat kawalan di sempadan dengan Poland, Republik Czech dan Switzerland untuk menangani isu kemasukan pendatang, lapor Xinhua.
“Kemasukan pendatang tanpa izin kian berleluasa,” kata Menteri Dalam Negeri Jerman Nancy Faeser pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemalangan van yang meragut tujuh nyawa pada minggu lalu.
Van yang dikatakan membawa pendatang tanpa izin itu terbabit dalam nahas jalan raya ketika cuba mengelak pemeriksaan polis.
Pada Oktober, Jerman merekodkan sebanyak 98,000 kemasukan pendatang tanpa izin.
Polis menjangkakan kira-kira satu daripada empat rakyat asing yang memasuki Jerman tanpa kebenaran merupakan mangsa sindiket pemerdagangan orang.
Negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini bersetuju untuk meminda undang-undang yang berkaitan dengan pencari suaka.
Bagaimanapun, pembaharuan itu masih perlu mendapat kelulusan Parlimen Eropah. – BERNAMA-XINHUA