BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, mengarahkan khidmat pengangkutan awam diberikan secara percuma di Bangkok untuk tempoh seminggu bermula hari ini.
Tindakan itu sebagai usaha terdesak kerajaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta asap pencemaran yang menyelubungi bandar itu sejak beberapa hari lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Suriya Juangroongruangkit yang menyampaikan arahan Perdana Menteri itu, berkata bas dan laluan kereta api elektrik di ibu negara akan diberi percuma.
Susulan itu, pihak kerajaan akan memberi pampasan kepada pengendali BTS Group Holdings dan Bangkok Expressway serta Metro, bersama pengendali bas yang dikawal kerajaan.
Langkah itu menunjukkan keseriusan masalah pencemaran di Bangkok, memaksa banyak sekolah ditutup minggu lalu dan orang ramai digesa bekerja dari rumah.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut dikritik pembangkang kerana menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland ketika bandar itu bergelut dengan masalah pencemaran yang meruncing, sehingga tersenarai sebagai antara bandar paling tercemar didunia.
Namun, pihak kerajaan turut melakukan pelbagai usaha termasuk pembenihan awam, serta mengetatkan pemantauan bagi mengurangkan asap kenderaan dan debu dari tapak pembinaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.