comscore
Tumpuan :
Dunia

Jerebu: Singapura catat PSI ‘tidak sihat’

SINGAPURA: Kualiti udara di Singapura memasuki julat ‘tidak sihat’, dengan Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) 24 jam bagi wilayah timur Singapura merekod bacaan 109 setakat jam 10 pagi tadi.

Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) menggariskan bacaan PSI 101 hingga 200 sebagai ‘tidak sihat’.

PSI di kawasan lain mencatat tahap sederhana (51-100), dengan bacaan tinggi di wilayah tengah (93) dan selatan (83), sebagaimana dilaporkan Channel News Asia (CNA).

Agensi itu meramalkan keadaan ‘sedikit berjerebu’ sepanjang hari ini di bahagian utara, selatan, timur dan tengah Singapura, dengan hanya bahagian barat dijangka mendung.

Lewat semalam, NEA memaklumkan, kualiti udara boleh memasuki julat ‘tidak sihat’ pada hujung minggu ini sekiranya kebakaran hutan di Indonesia berlanjutan dan ditambah dengan dorongan arah tiupan angin.

Menurut agensi itu, terdapat ‘peningkatan ketara’ jumlah titik panas di Sumatera membabitkan sebanyak 212 dikesan, semalam, berbanding 65 kelmarin dan 15 pada Rabu lalu.

“Kepulan asap dan jerebu dapat diperhatikan daripada imej satelit di selatan dan tengah Sumatera.

“Peralihan singkat dalam arah tiupan angin dari tenggara ke selatan pada tengah hari ini (semalam), menyebabkan jerebu bergerak ke arah Singapura dan mengakibatkan kualiti udara merosot,” katanya dalam satu kenyataan.

NEA berkata, paras PM2.5 satu jam di bahagian selatan serta timur Singapura telah memasuki paras tinggi (melebihi 55 ug/m3) petang semalam dan kekal tinggi pada jam 10 malam.

Agensi itu berkata, pihaknya akan menyediakan nasihat jerebu setiap hari mulai petang ini.

Menurutnya, nasihat jerebu harian itu akan termasuk ramalan PSI 24 jam yang boleh digunakan oleh orang ramai dalam merancang aktiviti dan program mereka untuk 24 jam seterusnya.

Sebelum ini, menurut NEA, nasihat telah dikeluarkan kepada pelbagai sektor, termasuk institusi penjagaan kesihatan, prasekolah, sekolah dan tempat kerja, untuk mengingatkan pengambilan langkah pengurusan jerebu yang sewajarnya jika PSI 24 jam memasuki julat tidak sihat, terutama bagi melindungi golongan rentan. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini