Tumpuan :
Dunia

Jepun sasar tenaga boleh diperbaharui jadi sumber utama menjelang fiskal 2040

Foto fail Reuters

TOKYO: Jepun buat pertama kalinya merancang untuk menjadikan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria dan angin sebagai sumber tenaga terbesar negara menjelang tahun kewangan (fiskal) 2040, menurut draf rancangan kerajaan yang didedahkan pada Selasa, lapor Xinhua.

Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri membentangkan draf pelan dasar tenaga asas, yang dikaji semula setiap tiga tahun, kepada satu mesyuarat pakar.

Draf itu mencadangkan sumber tenaga boleh diperbaharui menyumbang 40 hingga 50 peratus daripada jumlah penjanaan tenaga menjelang fiskal 2040, yang akan hampir menggandakan fiskal 2023 sebanyak 22.9 peratus.

Pelan dasar tenaga semasa, yang diluluskan kabinet pada 2021, menyasarkan 36 hingga 38 peratus bahagian tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun kewangan 2030.

Sasaran baharu untuk 2040 menandakan perubahan ketara, disokong oleh kemajuan dalam teknologi sel solar generasi baharu dan tenaga angin luar pesisir.

Pelan itu juga menetapkan bahawa kuasa haba menyumbang 30 hingga 40 peratus daripada jumlah pengeluaran tenaga, manakala tenaga nuklear mengekalkan bahagiannya dalam kerangka sasaran semasa sekitar 20 peratus. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini