MOSCOW: Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi dan Menteri Penyatuan Korea Selatan, Kwon Young-se pada Khamis bersetuju untuk menjalin kerjasama erat membabitkan ujian nuklear dan peluru berpandu Korea Utara yang menimbulkan “ancaman serius” kepada keselamatan di wilayah itu, lapor Sputnik.
Kwon tiba di Jepun pada Rabu sempena lawatan rasmi empat harinya atas jemputan Tokyo.
Dalam lawatan itu, Hayashi menggesa kerjasama menteri Korea Selatan dalam kes penculikan warga Jepun oleh Korea Utara pada 1970-1980-an, lapor agensi berita Kyodo.
Perkembangan itu menyusuli sidang kemuncak Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida semasa lawatannya ke Jepun minggu lalu, di mana mereka bersetuju untuk memulihkan pakatan perkongsian perisikan tentera antara kedua-dua negara, Perjanjian Maklumat Ketenteraan Keselamatan Am ( GSOMIA), untuk bertindak balas dengan lebih baik terhadap aktiviti ketenteraan Korea Utara di rantau ini.
GSOMIA ditandatangani pada 2016 dan ditamatkan pada 2019 atas inisiatif Korea Selatan ketika kedua-dua negara bertelagah dalam pertikaian diplomatik dan perdagangan. – BERNAMA-SPUTNIK